Monday, October 13, 2008

lelaki idaman

Lelaki idaman… Seorang lelaki yang aku idamkan Ialah seorang buta,bisu, bakhil dan papa… Biarlah dia seorang yang butaButa,
Kerana matanya sunyi daripada melihat perkara-perkara maksiat dan lagha
Kerana matanya terpelihara daripada memandang aurat wanita ajnabi
Asalkan kedua matanya terang dalam memerhatikan keagungan ciptaan Allah
Asalkan dia celik dalam melihat kesengsaraan umat Islam di Palestin, Ambon, Bosnia dan seumpananya

Biarlah dia seorang bisuBisu,
Bisu daripada pujuk rayu yang bisa menggoncang keimanan
Bisu daripada mengungkapkan ucapan yang bisa meracun fikiran
Bisu daripada perkataan yang bisa mendatangkan kekufuran
Asalkan bibirnya sentiasa basah mengingat Tuhan
Asalkan lidahnya tidak pernah lekang dari membaca Al-Quran
Asalkan dia petah membangkang kemungkaran
Dan lantang menyuarakan kebenaran

Lelaki yang aku idamkan ialah seorang yg bakhil Bakhil,
Bakhil dalam memberi senyuman Pada wanita yang bukan mahramnya
Bakhil dalam meluangkan masa bertemu janji dengan wanita ajnabi yang boleh dinikahinya Bakhil untuk menghabiskan wang hanya kerana seorang wanita yang tidak sepatutnya
Tetapi dia begitu pemurah meluangkn masanya untuk beribadah kepada Khaliqnya
Dia begitu pemurah untuk mempertahankan aqidahnya
Pemurah dalam memberi nasihat dan teguran Sehingga dia sanggup menggadaikan hartanya
Bahkan nyawanya sendiri untuk melihat kalimah LAILAHAILALLAHKembali megah di muka bumi

Lelaki yang aku idamkan adalah seorang yang papa Papa,
Papa dalam melakukan perkara maksiat
Papa dalam ilmu-ilmu yang tak berfaedah dan bermanfaat
Papa memiliki akhlak mazmumah
Tapi dia cukup kaya dalam pelbagai ilmu pengetahuan
Dia begitu kaya memiliki ketinggian akhlak dan budi pekerti yang mulia
Dia begitu kaya dengan sifat sabar dalam mengharungi tribulasi kehidupannya
Dan dia seorang yang kaya dalam membina jati diri
Dia mahu menjadi seorang syuhada Yang syahid di jalan Maha Esa


Persoalannya...Masih adakah lelaki idaman itu??

Romantik, kasih sayang dan cinta

Romantik

Hari ini, aku ada kelas therapy di hospital. Perjalanan menaiki bas dan tramvai sedikit sebanyak agak meletihkan, lebih-lebih lagi aku terpaksa berkejar ke sana, kerana waktu jumaat yang agak lewat berbanding waktu kelas yang bermula 2.40 ptg. Solat jumaat habis jam 2.00 petang.
Setelah turun dari tramvai, aku menyusuri lorong pejalan kaki yang agak licin dek salji yang mengeras. Dalam berkejarannya aku ke hospital, aku terpandang satu pasangan tua (dalam 50/60 tahun lebih) yang berpegangan tangan menyusuri jalan yang licin. Keramahan yang ditunjukkan oleh pakcik itu pada pasangannya amat menyentuh hati. Manakan tidak, walaupun umur sudah lanjut, tetapi kemesraan dan keramahan yang ditunjukkan seolah-olah mereka pasangan muda yang melayari rumah tangga. Aku memikir-mikirkan situasi tersebut dan menyimpulkan, sungguh bahagia pasangan yang berjaya kekalkan kemesraan sehingga hari tua.

Kasih sayang

Setahun yang lalu, satu hari yang serabut dalam musim sejuk yang menyengat tulang, aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan mengelilingi metropolitan Moscow dengan menaiki tramvai. Melihat-lihat keindahan cahaya lampu waktu malam. Sedang aku asyik dengan keindahan lampu tepi jalan dan keindahan warna warni bangunan-bangunan sepanjang jalanan, dua beranak naik tramvai yang kunaiki. Seorang ibu yang aku kira dalam lingkungan 30-an dan anaknya yang kurasakan sekitar 7@8 tahun.
Si kecil mengambil tempat dihadapanku, manakala si ibu mengambil keputusan duduk di sebelahku. Selepas itu, aku menyambung lamunanku ke luar tingkap yang sangat dingin. Lamunanku terganggu dengan kelincahan si kecil yang tidak henti-henti bertanya si ibu tentang apa yang dia lihat di sepanjang jalan yang dilalui. Si ibu pula tidak jemu menjawab pertanyaan si kecil yang jika aku berada di tempat tersebut, mungkin sudah tidakku layan. Sedang sibuk aku meneliti apa yang diperbualkan oleh kecil dengan ibunya, tiba-tiba si kecil menunjukkan ke satu arah yang bertentangan dengan si ibu, arah yang bagi aku, tidak pasti apa yang menarik ada di sana. Tatkala ibu sudah mengalihkan ke arah yang ditunjukkan oleh anaknya, sambil mencari-cari apakah gerangan yang dimaksudkan oleh anaknya, si kecil terus mengucup pipi si ibu tanpa sempat si ibu berpaling semula ke arah anaknya. Kemudian si kecil terus katakan “я тебя люблю” ("saya sayang mama") sambil memeluk ibunya. Ibu muda ini, membalas pelukan si kecil dengan penuh kemesraan.

Melihatkan situasi ini, aku tumpang bahagia melihat kasih sayang yang ditunjukkan. Senyuman yang dilemparkan oleh si ibu jelas kelihatan yang dia bahagia kerana tahu anaknya juga menyayanginya seperti dia menyayangi si kecil itu. Dalam keserabutan institusi keluarga yang teruk membelenggu masyarakat barat, tersimpan kasih sayang yang bagiku sungguh bernilai dalam kekalutan kota Moscow yang kian tahun mencengkam kehidupan rakyat dengan nilai inflasi yang tinggi. Hmm.. kasih sayang.. makin hilang dari masyarakat yang tidak memandang kepentingan institusi kekeluargaan dalam menangangi masalah sosial yang kian parah.
Cinta

Satu fitrah manusia untuk sayang dan disayangi. Aku juga tidak terlepas dari perasaan ini. Sepanjang tiga tahun di bumi Rusia ini, aku mengintai-intai disebalik sikap dan perangai masayarakat Rusia yang boleh ku ambil dalam memberi maksud cinta. Ku lihat, keberanian masyarakat meluahkan rasa cinta dan bercumbu-cumbuan di mana sahaja yang kulalui, tidak banyak mengajar aku erti cinta. Tetapi situasi tersebut membuatkan diriku memaksa diri untuk menundukkan pandangan dan berpuasa dalam mencari erti cinta yang sejati.
Rupa-rupanya, dalam gejolak yang membelunggu jiwa mudaku ini, tersimpan satu rahsia untuk mengendurkannya. Iaitu, PUASA. Ketika inilah aku rasakan besarnya hikmah berpuasa dalam menangani gejolak jiwa dan fitnah yang berlaku disekeliling. Bila berpuasa, perasaan untuk mengekalkan erti puasa itu membuatkan mata hanya difokuskan pada lantai dan kaki-kaki.
Menundukkan pandangan. Puasa dan menundukkan pandangan sangat memberi kesan dalam menjaga hati. Bila zina mata berjaya dikurangkan, maka berkuranglah hati dari titik-titik hitam yang sebenarnya sebagai tempat bermaharajalelanya nafsu dalam jiwa. Dua perkara yang aku baru kurasakan hikmah disebalik pesan Nabi kepada generasi muda yang punya kehendak tetapi tidak mampu untuk mendirikan ‘masjid’ yang suci.

bercouple atau jual mahal???

Masa kecil saya pernah memikirkan, memang perlukah seorang yang dewasa ber`dating` sebelum melangkah ke alam perkahwinan? Kenapa saya bingung akan hal ini? Kecil-kecil lagi sudah gatal?

Bukan begitu.

Naluri kanak-kanak saya pada waktu itu merasakan tidak selesa dengan apa yang ditayangkan dikaca televisyen. Jikalau ceritanya tentang pasangan kekasih, sudah pasti ada adegan keluar makan berdua-duaan sebelum punya ikatan yang sah. Cerita tempatan apatah lagi luar negara, babak kekasih dilamun cinta sebelum berkahwin disusun dengan penuh teliti. Tetapi saya memang bingung. Memang perlukah begitu? Perlukah bercouple sebelum berkahwin? Nyata saya tidak selesa di awal usia kanak-kanak.

Cinta Monyet

Alhamdulillah, semasa di sekolah rendah mahupun sekolah menengah saya jauh dari memahami erti ataupun mengalami cinta monyet. Istilah yang biasa tetapi sekadar mendengar. Ada sahaja rakan-rakan yang ber`cinta` seawal darjah lima.
Saya bingung. Memang terlalu muda untuk memahami tentang perkara ini. Maka tidak hairanlah mengapa saya bingung ketika itu. Pelik dan mencari-cari sebab mengapa ada yang bercinta seawal usia di darjah lima.
Di sekolah menengah, lain pula ceritanya. Kisah bercinta menjadi lebih hebat. Mungkin merasakan diri lebih matang sedangkan baru menginjak remaja. Kisah cinta disekeliling saya bermacam-macam. Kenyataan-kenyataan seperti; batch kami bercinta seperti tukar baju (pelajar batch tersebut sering bertukar-tukar pasangan ibarat menukar baju setiap hari), ada senior mengaku dia bercinta untuk mencari pengalaman. Aduh! Saya menjadi semakin bingung. Benarkah ini semua?
Erti couple, cinta dan perkahwinan

Kini setelah saya berusia dua puluh dua tahun, saya semakin mengerti. Kisah pasangan berdua-duaan yang saya fikirkan semasa kecil, bukanlah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam. Bahkan, Islam sebagai cara hidup menggariskan cara yang cukup indah dan sempurna untuk mengikat pertalian antara adam dan hawa. Kisah cinta monyet yang membingungkan semasa di zaman sekolah juga dapat saya cari jawapannya.
Buku Tentang Cinta karangan Ustaz Pahrol banyak membantu saya untuk memahami isu ini. Tambahan pula, semasa saya di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, forum Tentang Cinta telah diadakan. Panel-panel terdiri daripada Ustaz Pahrol sendiri, Ustaz Hashim (trainer Fitrah Perkasa) dan Ustaz Hasrizal. Panel yang hadir cukup berpengalaman kerana mereka jauh lebih dewasa dan sudah berkeluarga.
Islam dan Cinta

Islam menganjurkan lelaki dan wanita bertaaruf iaitu berkenal-kenalan sebelum mengikat pertunangan. Cara bertaaruf menjaga adab dan syariat. Pasangan tidak berdua-duaan tetapi ditemani oleh orang tengah mahupun ibu bapa sendiri.
Bercinta pula perlu punya tujuan. Apa tujuan cinta monyet? Sekadar suka-suka atau untuk mencari pengalaman? Jika benar, bukankah itu alasan-alasan yang menyedihkan?
Bercinta adalah berkasih sayang. Mampukah untuk kita berkasih sayang dengan seseorang yang asing jika kita belum mampu menyayangi ahli keluarga sendiri? Maka jika benar, kita berkasih sayang dengan orang luar perlu sama seperti berkasih sayang dengan ahli keluarga sendiri. Tetapi adakah perkara ini benar-benar berlaku di antara pasangan yang menyatakan diri mereka bercinta?
Bagi saya, untuk memahami istilah cinta, saya perlu memahami erti mencintai diri sendiri, mencintai ahli keluarga, mencintai rakan-rakan dan yang lebih utama mencintai Allah dan RasulNya. Saya perlu menguasai erti cinta ini sebelum mencintai seseorang yang asing - lelaki dalam hidup seorang wanita. Terlalu teoritikal? Pandai-pandailah mencari cara untuk amalinya.
Semakin dewasa saya semakin memahami dan lihat sendiri teori-teori cinta secara praktikalnya (bukan saya yang bercinta, tetapi melihat realiti disekeliling). Cinta itu perlukan kepercayaan dan tanggungjawab. Cinta itu memberi tanpa mengharap balasan. Teori ini memang benar untuk menyelesaikan masalah-masalah perkahwinan yang saya ketahui(bukan menjaga tepi kain orang, tetapi mungkin diri sudah cukup dewasa memahami permasalahan ini) . Perkahwinan yang memang bergelora.
Sesekali terasa takut pula memikirkannya. Tetapi seperti kata emak; Jalan ini mudah sahaja jika manusia ambil jalan yang lurus. Tetapi hakikatnya, ada yang memilih yang bengkang-bengkok.
Jual mahal?

Setelah berusia dua puluhan dan masih tidak berpunya atau tidak pernah ber`boyfriend`, maka masyarakat amnya masih mempunyai stigma bahawa tuan punya badan mungkin jual mahal. Nasihat seperti , jangan jual mahal nanti tidak laku dan sebagainya dilontarkan.
Persoalannya, setelah beberapa perkara seperti di atas dibangkitkan, adakah benar bahawa seseorang yang tidak ber`boyfriend` itu wajar dikategorikan sebagai jual mahal atau memilih? Atau mungkin tuan punya badan sekadar menongkah norma masyarakat kerana tidak bersetuju dengan gejala couple yang dipandang sebagai satu kemestian dan kebiasaan? Atau mungkin tuan punya badan benar-benar memikirkan erti sebenar cinta dan berkasih sayang?
Isu yang berat untuk difikirkan bersama. Masakan tidak, di dalam hadis daripada Nabi s.a.w. yang menegaskan dengan maksud bahawa :
"Sesiapa yang telah berkahwin dikalangan kamu maka dia telah sempurnakan separuh dari urusan agamanya dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada setengah atau separuh urusan agama yang selebihnya".
Masakan cinta dan perkahwinan perkara yang main-main sekiranya sebesar ini ganjaran yang dijanjikan Allah.